HIMPUNAN MAHASISWA ANAK- ANAK PERAK 2010

Pada 19- 21 Mac yang lalu, saya telah menghadiri Program Himpunan Mahasiswa/mahasiswi anak Perak 2010.Seramai 9 orang wakil Permadari,UKM telah dihantar utk menyertai program tersebut yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Bukit Jana Golf Resort,Taiping,Perak.

Program ini benar-benar memberi ruang kepada kami untuk sama-sama turut serta dalam agenda pembangunan negeri. Pelbagai aktivi telah dijalankan seperti 7 wasiat raja melayu, perak amanjaya, taklimat ringkas mengenai k-ekonomi dan sebagainya. Selain itu, himpunan ini telah menghimpunan 500 lebih mahasiswa dan mahasiswi merangkumi 40 ITPA dan IPTS di seluruh negara.

Serius ... sangat teruja dan seronok di beri peluang berjumpa barisan Kepimpinan negeri Perak dan aktiviti soal jawab berkenan hak dan kemajuan negeri. Politik tue ade la jugak .. siap dah daftar mengundi lagi dan diberi taklimat 1Malaysia daripada pengarah BTN Perak.

Namun pengorbananku meninggalkan dinner pusat berbaloi apabila ak terpilih menjadi Speker ke -4 dan membentangkan garapan idea ,tuntutan, kehendak dan keperluan Mahasiswa/i khususnya anak-anak negeri perak. Alhamdulilah, garapan ideaku dan rakan kumpulan 5 daripada UKM, UM dan UITM Arau diterima dan akhirnya aku dipilih membentangkannya di hadapan barisan para kepimpinan Perak.. dengan hanya persediaan 10 minit.. benar2 mencemaskan namum akhirnya ku berjaya jua walaupun terasa lutut kakiku yang kian mengeletar berdiri di atas pentas huhu.

kulampirkan dekralasi ini wat tatapan semua :


DEKLARASI BUKIT JANA 2010 - HALATUJU MAHASISWA
PERAK 2013

21 MAC 2010 / 5 RABUILAKHIR 1431H
TAIPING GOLF RESORT, BUKIT JANA, TAIPING PERAK


Delegasi Mahasiswa/Mahasiswi Anak Perak IPT SeMalaysia














DEKLARASI BUKIT JANA 2010 - HALATUJU MAHASISWA
PERAK 2013

Mukadimah
Hasil daripada HIMPUNAN MAHASISWA/MAHASISWI ANAK-ANAK PERAK 2010 yang berlangsung pada tarikh 19-21 Mac 2009 bersamaan 5 Rabiulakhir 1431H, bertempat di Taiping Golf Resort, Bukit Jana, Taiping Perak.
Kami, sebulat suara mengusulkan”Deklarasi Bukit Jana 2010 – Halatuju Mahasiswa Perak 2013” dengan kata kunci “Takkan Hilang Melayu Didunia”.Deklarasi ini memfokuskan kepada empat aspek utama iaitu:
1.0 Aspek Sosial
• Pemantauan secara menyeluruh dan berterusan dari pihak berkuasa
o Pada waktu ini sering kali terpapar di media massa berkaitan dengan masalah-masalah yang wujud di negeri Perak. Namun antara faktor utama yang menyebabkan masalah ini masih lagi berleluasa adalah disebabkan oleh kurangnya pemantauan secara menyeluruh daripada pihak berkuasa. Contohnya seperti di Padang Polo kewujudan masalah maksiat yang berleluasa di kawasan tersebut adalah kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa dan ini menyebabkan golongan-golongan belia menjadikan kawasana tersebut sebagai tumpuan utama pada waktu malam.

• Mewujudkan extreme park di tempat tumpuan belia
o Seperti yang telah diketahui telah pun wujud extreme park di kawasan-kawasan tertentu, namun masalah utama adalah penyediaan extreme park ini di kawasan-kawasan yang kurang menjadi tumpuan golongan-golongan belia. Oleh yang demikian perlu menambahkan lagi extreme park ini di kawasan-kawasan yang lain. Selain itu, sebelum ini telah pun diwar- warkan bahawa akan mewujudkan litar perlumbaan motorsikal bagi golongan-golongan mat rempit ini, namun sehingga ke hari ini masih lagi belum wujud litar tersebut. Saranan daripada pihak kami supaya pihak kerajaan negeri memandang serius terhadap keperluan ini dengan mengambil tindakan membina litar tersebut dengan kadar yang segera.

• Mengekalkan hubungan yang diwujudkan pada waktu ini dengan mengadakan program serta aktiviti secara berkala, dan jaringan sosial secara berterusan.
o Pada masa akan datang akan diwujudkan lagi program-program seperti baktisiswa di kawasan-kawasan pendalaman atau pun di sekolah-sekolah tertentu dengan melibatkan semula mahasiswa-mahasiswa yang hadir pada himpunan ini. Hal ini bertujuan supaya perhimpunan dan hubungan yang dijalinkan ini dapat dikekalkan seterusnya menjadikan perhimpunan ini satu pertubuhan yang memainkan peranan yang penting sebagai agen dalam membantu kerajaan negeri dalam mengurus tadbir negeri Perak.

• Pembinaan jati diri melalui penerapan pemakaian baju tradisional (baju layang) dalam majlis rasmi.
o Dengan perkembangan kebudayaan yang begitu meluas dari negera barat telah menyebabkan kebudayaan melayu yang wujud di negeri ini semakin dilupakn oleh golongan belia. Oleh yang demikian, bagi menghidupkan semula kebudayaan melayu ini kami mencadangkan supaya mewujudkan pemakaian baju tradisional bagi program-program rasmi yanag akan dihadiri oleh pimpinan-pimpinan mahasiswa anak-anak Perak. Dengan cara ini kebudayaan kemelayuan ini tak lapung dek hujan, tak lekang dek panas. Selain itu, mewujudkan festival kesenian di IPT dengan menekankan penggunaan kepada alatan kesenian yang terdapat di negeri Perak.

2.0 Aspek Politik
• Mengurangkan jurang antara kaum dalam kehidupan dalam masyarakat.
o Interaksi antara kaum berkait rapat dengan kestabilan politik sesuatu insitusi kerajaan. Ia amat memberi implikasi yang besar kepada keamanan negeri seperti insiden-insiden yang berlaku pada negara iaitu Tragedi 13 Mei 1969, Insiden HINDRAF pada tahun 2008, serta beberapa krisis yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama. Peranan sebagai mahasiswa, kami sebulat suara mengambil tanggungjawab untuk menjadi medium dalam mengurangkan jurang antara kaum di negeri Perak demi kestabilan politik dan keamanan negeri Perak khasnya serta Malaysia amnya.


• Penglibatan kaum dalam Operasi Khidmat Masyarakat(OPKIM).
o Dalam memastikan inspirasi mengurangkan jurang antara kaum dapat direalisasikan, kami sebulat suara menyeru bahawa penglibatan semua kaum secara menyeluruh didalam sebarang aktiviti yang melibatkan Mahasiswa seperti Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) dapat direalisasikan. Ia kerana dalam memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan melalui penerapan hubungan antara etnik dimulakan melalui hubungan Mahasiswa itu sendiri dalam usaha mengekalkan jatidiri dan Ketuanan Melayu sebagai satu bangsa berdaulat .

• Menubuhkan Majlis Perundingan Mahasiswa Perak.
o Sebagai platform dalam usaha memastikan legasi anak Perak dapat dikekalkan secara konsisiten, kami sebulat suara menyeru suatu Majlis dapat ditubuhkan dalam usaha memastikan segala matlamat yang dirangka dapat direalisasikan serta sebagai jambatan penghubung antara Mahasiswa Perak dengan Kerajaan Negeri.

• Menampilkan Mahasisiwa sebagai sebuah entiti yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik (non-partisan).
o Sebagai satu pergerakan Mahasiswa, kami sebulat suara menyeru agar pergerakan ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak samada secara langsung mahupun tidak langsung dengan menjadikan AUKU 1971 (pindaan 2009) sebagai sumber rujukan.

• Sidang DUN dihadiri sekurang-kurangnya seorang wakil dari mahasiswa sebagai pemerhati ketika proses sedang berlangsung.
o Mahasiswa merupakan generasi pemimpin pelapis masa hadapan. Dalam memastikan kesinambungan kepimpinan berterusan, kami sebulat suara menyeru agar penglibatan wakil mahasiswa sekurang-kurangnya seorang wakil dapat turut serta didalam Sidang DUN sebagai pemerhati agar wakil tersebut dapat menjadi wadah kepada Mahasiswa dalam memberikan gambaran sebenar perjalanan Sidang DUN. Ia juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri melalui Perak AmanJaya dimana dalam konsep yang kelima, kerajaan ingin menjadikan angkatan generasi muda terutamanya dikalangan Mahasiswa yang aktif melalui penyediaan peluang berkualiti yang membolehkan penglibatan secara aktif dalam semua sektor.
3.0 Aspek Ekonomi
• Mengadakan seminar keusahawan,pendedahan,dan program-progam yang memberi pendedahan pada mahasiswa sendiri.
o Dalam cabaran era globalisasi kini,perniagaan dan keusahawanan telah menjadi sebuah bidang yang menjana ekonomi sesebuah institusi.Bagi mewujudkan perniagaan,wajarnya peniaga mempunyai ilmu dan pendedahan,dan bagaimana untuk merancang perniagaan.

• Mensistematikkan Yayasan
o Mewujudkan sebuah yayasan atau menjadikan yayasan Perak yang sedia ada sebagai pusat penjanaan modal bagi peniaga kecil ataupun orang baru yang hendak mencuburi dalam bidang perniagaan. Menggalakkan masyarakat khasnya rakyat perak meminjam wang daripada yayasan ini berbanding meminjam daripada bank ataupun ceti haram dengan cara mengenakan kadar bunga yang lebih rendah daripada institusi kewangan yang lain dan menyediakan cara pembayaran semula dengan lebih fleksibel. Apabila dana daripada yayasan ini yang dipinjam,ini akan menjana pendapatan yayasan melalui pembayaran bunga dan ini juga mengalakkan kegiatan ekonomi di perak berkembang dengan adanya penyertaan peniaga-peniaga baru. Sistem kewangan yayasan sentiasa di audit dan terdapat pihak yang bertanggungjawab terhadap dana yang diberi kepada peniaga darisegi pemantauan dan penguatkuasaan. Yayasan ini juga di komersialkan disemua peringkat masyarakat agar semua lapisan masyarakat sedar tentang wujudnya pusat untuk mendapatkan modal berniaga.

• Menjadikan perak sebagai pusat transit utama pengangkutan awam seluruh negara
o Penambahbaikan infrastruktur jalan raya diseluruh perak terutama disekitar kawasan tumpuan jaringan perhubungan.Menggalakkan pelancong berhenti diPerak sebelum meneruskan perjalanan.Ini akan menggalakan orang luar berbelanja dinegeri perak.

• Mewujudkan satu pusat perniagaan berfokus yang menjadi simbolik kepada negeri perak.
o Menjadikan negeri Perak sebagai pemain utama dalam sesuatu industri contohnya akuakultur ataupun automotif.Mencipta imej pada masyarat Malaysia apabila menyebut sesuatu industri akan mengingatkan pada negeri perak dan menjadikan perak negeri contoh dalam sesuatu industri.

• Memantapkan Bandar Siber di negeri Perak.
o Menggalakkan pelabur dalam bidang siber melabur di Perak.Menjadi pesaing pada Cyberjaya dan Wilayah Iskandar. Membaikpulih jaringan telekomunikasi dinegeri Perak. Melahirkan lebih ramai pakar siber untuk berkhidmat di negeri Perak. Menarik minat pakar dari luar untuk berkhidmat di Perak.

• Meningkatkan promosi terhadap pelancongan dan kebudayaan dinegeri Perak.
o Menggalakkan pelancong untuk memilih melancong di negeri Perak berbanding di negeri lain.Mengkomersialkan tempat-tempat yang berpotensi untuk menjadi tumpuan pelancongan. Mengkomersialkan budaya negeri Perak.(Contoh peralatan muzik seperti dabus dan pembuatan labu sayong).

• Peruntukan aktiviti-aktiviti untuk anak-anak Perak melalui Majlis Perundingan Mahasiswa Perak.
o Bagi memudahkan aktiviti yang akan dirancang oleh Majlis disamping memberi suntikan semangat pada anak-anak Perak untuk menjalankan aktiviti bagi memangkin perkembangan anak-anak Perak.Majlis Perundingan Mahasiswa Perak akan menjadi pusat untuk membentuk anak-anak Perak sebagai penjana ekonomi dan kebudayaan di Perak.

4.0 Aspek Pendidikan
“Takkan Melayu Hilang Di Dunia” Himpunan Mahasiawa/i Anak-anak Perak 2010 mengutarakan 7 tuntutan dalam aspek pendidikan ke arah halatuju mahasiswa menjelang 2013. Berikut adalah tuntutan-tuntutan yang disuarakan:

• Pengangguran
o Dewasa ini, isu pengangguran sering diperkatakan berikutan saban tahun, jumlah siswazah menganggur kian bertambah. Justeru itu, kami mahasiswa/i Perak menyeru supaya anak-anak Perak yang telah berjaya dalam bidang masing-masing tampil untuk memberikan panduan, dorongan, perkongsian pengalaman dan memberi peluang pekerjaan kepada siswazah yang masih belum mempunyai pekerjaan. Selain itu, kami juga memohon supaya kerajaan negeri memberikan sedikit kuota pekerjaan di peringkat kerajaan negeri kepada kepimpinan Persatuan Anak Negeri yang bergiat aktif dalam memaju dan memakmurkan masyarakat Perak melalui program-program yang telah dijalankan di peringkat negeri.

• Kurang penguasaan Bahasa Inggeris
o Era globalisasi yang melanda kini, mendedahkan mahasiswa /i kepada persaingan di alam pekerjaan. Dunia tanpa sempadan telah memaksa mahasiswa/i untuk menguasai bahasa lain iaitu Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Menjelang 2013, kami berasa amat yakin dan percaya bahawa penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa/i masih lagi di tahap yang rendah. Justeru itu, kami menuntut supaya pihak kerajaan negeri amnya dan Jabatan Pelajaran Negeri khususnya supaya mewujudkan kelas-kelas insentif Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah dan menengah khususnya di kawasan luar Bandar. Keadaam ini secara tidak langsung akan mengurangkan jurang penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di bandar dengan pelajar di luar bandar. Seterusnya meningkatkan peratus kelulusan pelajar dalam Bahasa Inggeris dan akhirnya meningkatkan prestasi pencapaian pendidikan di Perak.

• Kemahiran “soft skill”.
o Kemahiran “soft skill” seperti kemahiran berfikir, berkomunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan merupakan kemahiran–kemahiran yang wajib ada pada seseorang mahasiswa/i sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Kesedaran mengenai keperluan kemahiran “soft skill” perlu diterapkan dari bangku sekolah lagi supaya mereka mampu membentuk jati diri yang unggul dan mampu berdaya saing di alam pekerjaan. Justeru itu, kami memohon supaya kerajaan negeri mewujudkan lebih banyak kelab dan persatuan di peringkat daerah untuk memupuk dan menarik minat remaja untuk melibatkan diri. Selain itu, Jabatan Pelajaran Perak diseru supaya mengalakkan dan mewajibkan penglibatan secara aktif para pelajar di Perak dalam kelab dan persatuan di peringkat sekolah. Penambahan pusat–pusat kemudahan seperti gelangang badminton dan sebagainya juga mampu memangkin penglibatan aktif para belia.

• Dana Pendidikan
o Masalah kewangan merupakan masalah utama yang dihadapi oleh para pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Keadaan lebih menyukarkan lagi apabila pelajar- pelajar tersebut terdiri daripada keluarga yang kurang berkemanpuan. Justeru itu, kami menggesa supaya kerajaan negeri mewujudkan dana pendidikan khusus kepada anak negeri Perak. Tidak dinafikan bahawa kerajaan negeri telah mewujudkan pinjaman pendidikan negeri namun keadaan pergolakkan politik yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan mahasiswa/i yang bergantung kepada pinjaman tersebut ibarat “digantung tak bertali” sehingga peralihan kuasa selesai. Keadaan itu telah menyebabkan mereka gagal untuk menjelaskan yuran pengajian serta tidak menpunyai wang untuk sara hidup sepanjang semester tersebut. Justeru itu , kami memohon supaya dana tersebut diuruskan oleh agensi khusus supaya keadaan ini tidak akan berulang lagi. Selain itu, kurangnya penyampaian maklumat atau maklumat yang tidak sampai kepada golongan pelajar khususnya dan masyarakat amnya mengenai dana bantuan yang telah diwujudkan seperti Bantuan Yayasan Perak dan sebagainya menyebabkan sebilangan pelajar memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran akibat daripada kesempitan hidup.



• Subjek yang tidak diiktiraf
o Lambakan IPTS yang tumbuh bagai cendawan mendorong kepada kemasukan pelajar yang menpunyai keinginan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran setelah gagal menempatkan diri di IPTA ke institusi tersebut. Namun tidak semua IPTS dan kursus yang ditawarkan mereka lepasi tahap MQA seterusnya mendapat kelulusan LAN. Justeru itu, bagi mengurang dan mengelakkan para pelajar lepasan SPM, SPTM dan vokasional ditipu oleh IPTS yang hanya mementingkan keuntungan, kami mengesa supaya kerajaan negeri mengadakan program pendedahan awal bagi menyampaikan maklumat-maklumat berkaitan IPTA dan IPTS menerusi Karnival UPU dan sebagainya. Selain itu, kami juga menggesa supaya Jabatan Pelajaran mewajibkan setiap sekolah mengadakan bengkel “halatuju selepas tamat belajar” kepada pelajar tingkatan 5 dan 6 atas. Kami juga berharap agar pihak sekolah diberikan arahan untuk memantauan dan membimbing pelajar-pelajar ketika mengisi borang untuk melanjutkan pelajaran.

• Latihan Industri
o Kami menyeru supaya kerajaan mengadakan pelaksanaan latihan industri kepada setiap jurusan di IPTA dan IPTS dalam usaha meningkatkan kualiti graduan. Keadaan ini akan memberikan peluang kepada mahasiswa/i untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan kemahiran dalam sesuatu bidang sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

• Bahasa Ketiga
o Persaingan yang makin sengit di alam pekerjaan memerlukan mahasiswa/i menguasai bahasa ketiga selain daripada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Justeru itu, kami mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri mewajibkan para pelajar mengambil bahasa ketiga di peringkat sekolah di seluruh negeri Perak. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mengambil iktibar kepada pepatah Melayu ini, kami merasakan sudah sampai masanya pembaharuan dalam pendidikan Perak dilakukan demi menjamin bakal kepimpinan yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang.

Penutup
Kami berharap dengan termetrainya deklerasi ini, maka segala usul yang telah kami suarakan dapat didengari dan diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan Negeri Perak agar perubahan yang bakal berlaku dapat memberi impak yang ketara demi pembangunan negeri Perak bumi yang bertuah ini.

“TAKKAN HILANG MELAYU DIDUNIA”








s.k. i. YAB Dato' Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir
Menteri Besar Perak
ii. Y.B. Encik Mohammad Zahir bin Abdul Khalid
EXCO Jawatankuasa Pelajaran,Pengajian Tinggi,ICT,Sumber Manusia,Sains dan Teknologi Negeri Perak.

iii. Ketua Delegasi Mahasiswa/Mahasiswi Anak Perak IPT SeMalaysia.

Comments

Popular posts from this blog

mengimbas memori ..

sepi seorang perindu

Penemuan tergempar